• +60 (19) 818 6556 / + 60 (11) 1052 6270
  • info@haztech.com.my / +60 (82) 243 395

Kapal dan tongkang bawa minyak sawit RM18.5 juta dari Bintulu dirompak di Singkawang

Kapal dan tongkang bawa minyak sawit RM18.5 juta dari Bintulu dirompak di Singkawang

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebentar tadi
mengesahkan bahaea pihaknya telah menerima laporan bahawa sebuah tongkang yang dalam perjalanan dari Bintulu menuju Butterworth, Pulau Pinang telah dilarikan di perairan Singkawang, Indonesia.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada Syarikat Pengangkutan Kekal Sdn. Bhd yang melaporkan bahawa vesel milik mereka iaitu Baj Ever Omega telah dilarikan sekumpulan perompak bersenjata parang pada jam 4 pagi, Rabu lalu.

"Tongkang terbabit membawa muatan 3,700 tan minyak sawit yang bernilai hampir RM18.5 juta.

Semasa kejadian kata Mohd Taha, empat kru bot tunda Ever Prosper dan enam kru tongkang Ever Omega telah diikat sebelum tongkang terbabit ditunda oleh bot tunda yang tidak dikenali ke lokasi lain.

"Manakala bot tunda Ever Prosper bersama-sama empat kru telah ditinggalkan perompak sebelum berjaya melepaskan diri dan belayar menuju ke perairan Johor.





Maritim Malaysia katanya, telah menerima maklumat mengenai kehilangan bot-bot daripadaPusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi Lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP), sekitar jam 7.08 petang dan daripada pihak syarikat pada jam 7.10 petang.

Pihak syarikat katanya, melaporkan bot tunda dan tongkang terbabit telah berlepas dari Bintulu pada jam 7 pagi 18 November dan dijadualkan tiba di Butterworth, Pulau Pinang pada 26 November.

Maritim Malaysia kata Mohd Taha, segera bertindak menghubungi pihak berkuasa Indonesia menerusi jaringan komunikasi khas iaitu Western Fleet Quick Response (WFQR) yang menghubungkan pegawai operasi Maritim Malaysia secara terus kepada pegawai operasi pihak berkuasa maritim Indonesia.

"Pada masa yang sama, Pusat Operasi Maritim (POMAR) Maritim Malaysia di Putrajaya telah melakukan tindakan mengesan bot tunda menerusi sistem pengesanan kapal berdasarkan nombor Maritime Mobile Service Identity (MMSI) bot tunda tersebut.

"Semakan mendapati, sistem Automatic Indentification System (AIS) bot tunda Ever Prosper telah dimatikan di perairan Bintulu mulai jam 7.12 malam, 18 November.

Sistem AIS bot tunda berkenaan katanya, telah diaktifkan semula pada jam 8.39 malam 23 November di Tanjung Pengelih, Johor.

"Pada jam 6 petang, 23 November, pihak Indonesia telah memaklumkan Maritim Malaysia bahawa mereka telah menjumpai baj Ever Omega bersama-sama enam kru (5 Indonesia dan 1 India) dalam keadaan selamat.

"Namun, Maritim Malaysia meminta pihak berkuasa Indonesia mengesahkan tentang muatan tongkang berkenaan yang disyaki hilang bersama-sama perompak.



Tongkang katanya, kini ditunda ke Tanjung Pinang, Indonesia oleh kapal Tentera Nasional Indonesia.

"Pada jam 12.45 tengah hari, 23 November, bot Maritim Malaysia dari Daerah Maritim Sedili, Johor telah mengiringi bot tunda Ever Prosper bersama-sama empat kru warga Indonesia ke Jeti Tanjung Pengelih untuk siasatan lanjut.

"Pasukan forensik Maritim Malaysia dari Putrajaya juga telah pun diatur gerak ke Tanjung Pengelih semalam untuk melaksanakan siasatan menyeluruh ke atas kes ini.

Selain itu, katanya Maritim Malaysia juga akan menjalankan siasatan bersama-sama pihak Indonesia berikutan kejadian rompakan ini telah berlaku dalam perairan mereka.

"Berdasarkan rekod, kejadian rompakan minyak sawit ke atas bot syarikat
ini adalah kejadian yang keempat dalam tempoh 12 bulan.

"Dua kejadian rompakan pada tahun lepas telah berlaku di perairan Bintulu pada 3 Jun 2016 melibatkan bot tunda Ever Prosper dan bot Ever Dignity, dan 25 Oktober 2016 melibatkan bot tunda Even Ocean Silk dan Baj Ever Giant.

Dalam kedua-dua kejadian, jumlah minyak sawit yang telah dirompak adalah kira-
kira 5,449 tan.

Susulan beberapa kejadian yang berlaku ke atas vesel syarikat yang sama, Maritim Malaysia Wilayah Sarawak telah mewujudkan saluran komunikasi khas dengan syarikat berkenaan supaya bantuan boleh diberi dengan segera.

Malangnya dalam kejadian Rabu lepas, saluran komunikasi khas itu tidak digunakan untuk memaklumkan atau mendapatkan bantuan Maritim Malaysia lebih awal.

Sejak tahun 2016, Maritim Malaysia telah pun memulakan langkah proaktif bekerjasama dengan syarikat Perkapalan Orkim Sdn Bhd, pemilik kapal MT Orkim Harmony yang pernah mengalami kes rompakan pada tahun 2015.

Bagi mengelak kejadian yang sama berulang, syarikat terbabit telah memaklumkan Maritim Malaysia akan jadual pelayaran kapal-kapalnya. - Sarawakvoice

src Click Here[